Kalau dari kecil sudah salah terima pengajaran dan didikan
Pengajaran dan didikan tidak lagi bertunjangkan iman dan ketuhanan
Maka manusia akan tersalah berfikir
Jiwa manusia akan rosak fitrahnya
Dirosakkan oleh cara berfikirnya sejak dari kecilnya
Apabila fikrah sudah sebati dengan keyakinan yang tidak bertunjangkan iman
Jiwa pula hitam dengan mazmumah disebabkan ajaran yang diterimanya
Kalau ia menjadi pengajaran dan didikan rakyat umum
Aduh, punahlah satu bangsa di dalam sebuah negara
Punahnya memakan masa paling tidak puluhan tahun
Kalaupun tidak ratusan tahun
Jika ia telah menjadi fikrah dan jiwa satu bangsa
Bukan senang hendak dipulihkan semula
Biasanya ia akan pulih manakala Allah Taala utuskan di kalangan mereka pemimpin yang dijanjikan
Atau pemimpin yang ditunjuk oleh Tuhan
Kerana itulah setiap pendidikan dan pengajaran
Yang hendak dijadikan warisan bangsa
Hendaklah berhati-hati dan penuh teliti
Kerana kalau tersilap dari mula mengasaskannya, oleh kerana kesilapan pemimpin-pemimpin bangsa itu
Rosak binasalah bangsa itu hingga beberapa generasi
Hendak membetulkannya semula
Terpaksa makan masa berpuluh atau beratus tahun lamanya
Oleh : Abuya Ashaari Muhammad at Tamimi